Majlis Tertinggi UMNO Palu Muzik A-Go-Go Tapi Pak Lah Buat Tari Inang
Pos # 75
Majlis Tertinggi UMNO Palu Muzik A-Go-Go Tapi Pak Lah Buat Tari Inang
Dilulus terbit pada Sunday, September 28 @ 18:15:00 MYT oleh SongkokPutih
Oleh zublizainordin
"Kepada mereka yang sudah mula mahu bergembira meraikan Abdullah Ahmad Badawi bersara awal, jawatan Presiden UMNO, maka bersedialah untuk merasa kecewa sekali lagi.
Ibarat ke gerai jalanan membeli sebentuk berlian berharga RM 2,100, bila balik ke rumah mendapati, ianya kaca murahan bernilai 10 sen.
Mari kita imbas kembali apa yang dilakukan oleh Abdullah Ahmad Badawi, setelah berada dalam keadaan terdesak selepas didesak dan diasak pada 18 September, 2008, yang lalu.
Abdullah Ahmad Badawi telah berdua-duan berbincang secara sulit dengan Mohd Najib Abdul Razak.
Jadi, bagaimanakah kita dapat tahu akan isi perbincangan ini. Bak kata Muhammad Muhd Taib, petualang, ya di sini, tiada petualang yang boleh membocorkan isi perbincangan di antara Abdullah Ahmad Badawi dan Mohd Najib Abdul Razak. Jika terdedah, maka tentulah seorang dari mereka berdua yang bocorkan dan membolehkan hilangnya kepercayaan, di antara mereka berdua.
Namun, mulut tempayan bolehlah ditutup, tidak mulut manusia. Walaupun, Abdullah Ahmad Badawi dan Mohd Najib Abdul Razak, menutup mulut, namun, gerak badan mereka boleh dibaca oleh para pegawai yang rapat dengan mereka.
Apa yang terjadi ialah, mereka di kem Abdullah Ahmad Badawi, bersuka ria. Sedangkan, mereka di kem Mohd Najib Abdul Razak, gundah gulana. Di antara kedua-dua kem ini, ialah pegawai yang taat setia hanya kepada ketua masing-masing, dan ada bilangan kecil yang bertukar-tukar nota.
Boom! Pecah rahsia...
Perhatikan betul-betul kenyataan mana yang menjadi rahsia telah dibocorkan:
01. Abdullah Ahmad Badawi mahu Mesyuarat Agung dan Pemilihan Pemimpin UMNO, ditunda dari 16 Disember, 2008 ke 9 Mac, 2009. Sedangkan Mohd Najib Abdul Razak menentangnya.
02. Mohd Najib Abdul Razak mahu Mesyuarat Agung dan Pemilihan Pemimpin UMNO, ditunda dari 16 Disember, 2008 ke 9 Mac, 2009. Sedangkan Abdullah Ahmad Badawi menentangnya.
03. Abdullah Ahmad Badawi dan Mohd Najib Abdul Razak, sama-sama mahu Mesyuarat Agung dan Pemilihan Pemimpin UMNO, ditunda dari 16 Disember, 2008 ke 9 Mac, 2009. Maka, di bawa ke Mesyuarat Istimewa Majlis Tertinggi UMNO, pada 26 September, 2008.
Adoi! Sekali lagi, Mohd Najib Abdul Razak terjerat oleh permainan Abdullah Ahmad Badawi. Penundaan tarikh tersebut, menguntungkan Abdullah Ahmad Badawi yang terus kekal Presiden UMNO. Sedangkan peluang untuk Mohd Najib Abdul Razak, untuk mengambil alih jawatan dengan cara penuh terhormat, turut tertunda.
Pada hari itu, 26 September, 2008, di sekitar pukul 10 pagi, Mohd Najib Abdul Razak, yang sampai awal, menyambut ketibaan Abdullah Ahmad Badawi, yang tiba sejurus kemudian. Mereka berdua-duaan lagi, beberapa minit, lama jugalah. Kemudian bersama-sama masuk menemui Ahli Majlis Tertinggi UMNO, lalu bermesyuarat.
Tanpa mendapat isyarat jelas, Ahli Majlis Tertinggi mula memainkan muzik A-G0-Go, dan yakin bahawa peralihan kuasa pertengahan 2010 telah dipercepatkan sekitar 9 Mac 2009. Pada sebahagian mereka, ini kompromi yang baik, dan Mohd Najib Abdul Razak, dikira telah menang, dalam desakan mereka ke atas Abdullah Ahmad Badawi, untuk berundur secara terhormat, dengan lebih cepat dan lebih segera.
Selesai sahaja muzik A-Go-Go, semua ahli Majlis Tertinggi UMNO, beredar kerana bergegas untuk menunaikan solat Jumaat.
Sedangkan, Mohd Najib Abdul Razak kelihatan duduk lesu, melihat Abdullah Ahmad Badawi ibarat membuat tari Inang, di hadapan para wartawan yang menanti sejak awal meliputi sidang media ini.
Apakah yang istimewanya Mesyuarat Istimewa Majlis Tertinggi UMNO, pada 26 September, 2008 ini?
Itu soalan afdal para wartawan. Oleh kerana jawapan tidak jelas dari Abdullah Ahmad Badawi, yang cuba mengenakan Mohd Najib Abdul Razak dalam sidang media ini, maka dua soalan wartawan, dapat mengesani muzik apa kah yang didendangkan dalam Mesyuarat Istimewa Majlis Tertinggi UMNO tadi, dan tari apa kah yang sedang dibuat oleh Abdullah Ahmad Badawi kini.
Ini soalannya, dan fahamilah jawapannya:
01. Pelan Peralihan
Soalan:
Adakah Pak Lah telah umumkan untuk tidak bertanding jawatan Presiden UMNO?
Jawapan:
Tidak, saya akan umumkan sendiri nanti, pada atau sebelum 9 Oktober, 2008.
02. Petanda Cuti
Soalan:
Adakah Pak Lah akan bercuti dalam tempoh masa terdekat?
Jawapan:
(Tidak tergamak saya menaip jawapannya di sini. Terlalu melucukan). Carilah sendiri dalam media OnLine, dan sila baca ya...)
Maksud semua episod yang tersebut di atas, ialah, ada muslihat, seperti yang disebut oleh Zahidi Zainul Abidin. Muslihat Abdullah Ahmad Badawi, yang hanya boleh dilihat oleh para Mus-Melihat.
Mus-Melihat? Ya, apa yang para pemerhati kepemimpinan dan penganalisis politik dapat lihat dan jangkakan ialah, Abdullah Ahmad Badawi telah berjaya mempermain-mainkan mereka ini:
01. Mohd Najib Abdul Razak. Dia masih tidak dapat segera menjadi Presiden UMNO. Tunggulah, lama lagi. 9 Mac, 2009? Tidak. pertengahan 2010? Tidak. Jadi bila? Tiada akan dapat menjawatnya bila-bila pun.
02. Ahli Majlis Tertinggi. Sebahagian masih menyokong dan mahu Abdullah Ahmad Badawi terus kekal sebagai Presiden UMNO. Sebahagian lain tidak kisah siapapun menjawatnya. Orang kah, pisang kah. Selainnya, pemain gitar rancak muzik A-Go-Go, oii! sedarlah Abdullah Ahmad Badawi belakang kamu, dia buat tari Inang.
03. Tengku Razaleigh Hamzah. Apa pun keputusan Abdullah Ahmad Badawi, memang mengena Tengku Razaleigh Hamzah. Jika tundaan tarikh ini menusuk tajam, sehingga tajam pula lidah Tengku Razaleigh Hamzah kali ini. Maka tunggulah 9 Oktober, 2008, dan 9 Mac, 2009, dijangkakan Abdullah Ahmad Badawi akan terus kekal sebagai Presiden UMNO, melepasi tarikh tersebut.
04. Para pemimpin UMNO Bahagian. Penundaan ini menyusahkan. Mereka masih ada yang terpinga, terkedu, ternganga, kehairanan, dan belum dapat dipastikan hendak mencalonkan siapa dan regu mana untuk jawatan Presiden dan Timbalan Presiden. Orang Melayu bila mereka malas nak berada dalam keadaan susah kerana dimenyusahkan, mereka akan ambil jalan mudah, justru mereka akan mencalonkan Abdullah Ahmad Badawi dan Mohd Najib Abdul Razak. Senang, habis cerita. Abdullah Ahmad Badawi akan seronok, katakanlah majoriti atau 191 pencalonan sekaligus untuknya. Namun, Mohd Najib Abdul Razak juga yang tidak akan merasa duduk di kerusi Presiden UMNO.
05. Mungkin ada banyak kesan yang tidak memihak kepada Mukhriz Mahathir. Orangnya lurus dan masih baru dalam pencak persilatan politik. Apatah lagi, tari menari politik begini, bukanlah minatnya, ketika dia mahu memantapkan UMNO dan membawa sekurang-kurangnya sayap Pemuda UMNO ke era lebih baik melalui Berani Berubah.
06. Khairy Jamaluddin? Apa yang rumitnya dek? Ehem masih lagi Presiden UMNO. Kamu fikirlah sendiri.
07. Melihat kepada para pemimpin parti dalam Pakatan Rakyat, UMNO bukanlah parti mereka, jadi tidak dapatlah menyengat komen dan pandangan mereka.
Namun, oleh kerana UMNO itu parti peneraju, dan Abdullah Ahmad Badawi itu Presiden UMNO, yang juga Perdana Menteri Malaysia, maka ada kaitan jugalah apa yang mereka dalam Pakatan Rakyat suarakan.
Irama dan lagu yang tak dapat dipisahkan, dipersembahkan pula oleh Majlis Tertinggi UMNO, telah memperlihatkan kepada mereka di luar UMNO, satu tarian Abdullah Ahmad Badawi, yakni Inang yang lemah gemalai.
Sebab itulah ada blogger menyatakan, jika boleh, teringin itu adalah jelas sekali, bahawa Abdullah Ahmad Badawi, mahu kekal sebagai Presiden UMNO walaupun hingga 1 Jun, 2100.
Rujukan:
01.
http://atotalblog.wordpress.com/2008/09/28/umno-supreme-council-chorus-a-go-go-music-and-pak-lah-does-tari-inang/
02.
http://satublogtotal.blogspot.com/2008/09/lawak-ke-ni-draf-surat-perletakan.html
"
Last 10 News Submissions sent by zublizainordin:
InsyaAllah, ada lagi pos diterbitkan di sini...