Gelombang Rakyat

Lawak Kot? Perlukah Ada Tataetika Pemilihan UMNO Versi 9 Mac 2009

Penulis:

Zubli Zainordin AvatarZubli Zainordin

Ya, perlukah ada panduan sedemikian?

Tataetika Ahli UMNO
bigdogdotcom.wordpress.com


Demi untuk mengelakkan Politik Wang, dan segala macam rasuah politik, dan yang utama tidak melihat UMNO berpecah sebaliknya UMNO tetap utuh bersatu, maka ada disuarakan kini akan satu kemungkinan supaya diluluskan,

Tataetika Pemilihan UMNO Versi 9 Mac, 2009.

Ini menjadi lebih relevan bila ada yang mula merasakan bahawa Tataetika Pemilihan UMNO khas untuk 16 Disember 2008 sudah tidak dapat digunakan atau dipakai lagi.

Deoxyrinobucleic acid atau DNA ...
sujudterakhir.blogspot.com

Ibaratnya sama dengan sampel DNA lama dan sampel DNA baru. Bila sampel DNA lama tidak boleh dipakai lagi, maka perlulah sampel DNA yang baru.

Dak begitu Pak Lah?

Abdullah Ahmad Badawi
bp1.blogger.com


Ooo banyak itu kah sampel DNA baru diperlukan? Orait!

Jadi, kini perlulah diadakan satu Tataetika Pemilihan UMNO Versi 9 Mac, 2009.

Beberapa tambahan perlu diwajibkan supaya ada, maka wujudnya ialah sebagai tiang seri kepada Tataetika Pemilihan UMNO Versi 9 Mac, 2009 ini.

Maka, dicadangkan:

Sistem Kuota

Oleh kerana perihal sistem kuota, ada tentangan dan rungutan dari ahli dan para pemimpin UMNO, termasuk mereka yang bertanding sebagai calon, maka sistem kuota molek dikekalkan dan diubahsuai.

Pencalonan Presiden dan Timbalan

Calon yang bertanding jawatan Presiden dan Timbalan Presiden dibenarkan, boleh secara perseorangan ataupun berbentuk regu.

Kuota bagi calon perseorangan kini dinaikkan daripada keperluan mendapat 30 peratus kepada 40 peratus dari jumlah 191 pencalonan. Jika tidak tercapai 40 peratus dari jumlah 191 pencalonan UMNO Bahagian, mereka calon ini dikira gagal dan tidak dibenarkan bertanding.

Jika calon perseorangan ini membentuk regu dengan calon lain, maka kuotanya ialah 80 peratus. Jika regu ini tidak mendapat campuran 80 peratus daripada 191 pencalonan UMNO Bahagian, kedua-duanya dikira gagal dan tidak dibenarkan bertanding.

Bagi calon penyandang jawatan Presiden dan Timbalan Presiden, jika masing-masing bertanding secara perseorangan, maka pencalonan Presiden penyandang dan Timbalan Presiden penyandang, secara automatik akan dicampurkan dengan angka pencalonan Timbalan Presiden, dan 40 peratus dikira cukup untuk bertanding mengekalkan jawatan.

Jika didapati campuran kedua-dua angka pencalonan Presiden dan Timbalan Presiden Penyandang, tidak mencukupi atau tidak sampai kepada 40 peratus dari jumlah 191 pencalonan UMNO Bahagian, setiap seorang, maka secara automatik Presiden dan Timbalan Presiden penyandang boleh memperolehi atas nama demokrasi terpimpin, di antara 10 hingga 50 peratus pungutan pencalonan daripada calon perseorangan ataupun regu lainyang bertanding berebut kerusi kedua-dua jawatan penyandang ini.

Pemilihan Ketua Wanita UMNO

Untuk calon Ketua dan Timbalan Ketua Wanita UMNO. Tiada pertandingan dijangkakan. Namun Presiden UMNO diberikan kuasa automatik untuk memberikan di antara 10 ke 50 peratus pencalonan yang diperolehi daripada mana-mana calon untuk diberikan kepada mana-mana calon Ketua dan Timbalan Ketua Wanita UMNO, pilihan Presiden UMNO.

Pemilihan Ketua Pemuda UMNO

Untuk calon Ketua Pemuda UMNO pula, persaingan adalah sengit. Setelah pencalonan dibuat maka Presiden UMNO diberikan kuasa automatik untuk memperolehi 10 peratus hingga 50 peratus daripada pungutan setiap calon yang bertanding, dan memberikan kesemua pungutan ini kepada calon Ketua Pemuda UMNO pilihan Presiden UMNO.

Langkah Susulan

Tataetika Pemilihan UMNO Versi 9 Mac, 2009, yang dicadangkan ini setelah drafnya disediakan dan disiapkan, akan dibawa kepada Presiden dan Timbalan Presiden UMNO untuk mendapatkan restu kedua-duanya.

Setelah restu dicapai oleh kedua-duanya, ianya akan dibentangkan dalam Majlis Tertinggi UMNO. Tataetika pemilihan UMNO Versi 9 Mac, 2009 ini akan diluluskan juga jika ada dua ahli yang bersetuju walaupun selainnya menentang.

Dicadangkan, kemudian, yakni, kecuali Presiden dan Timbalan Presiden UMNO, semua Ahli Majlis Tertinggi dan Ketua Perhubungan UMNO Negara dan Negeri akan memberikan penerangan kepada semua ahli UMNO di seluruh negara.

Penjelasan juga dicadangkan akan dibuat melalui media massa terpilih.

Dicadangkan juga, laman web rasmi akan juga digunakan supaya semua ahli UMNO faham akan Tataetika Pemilihan UMNO Versi 9 Mac, 2009 ini.

Sementara itu para pemimpin tertinggi UMNO dijangka tidak akan peduli kepada mana-mana calon, pemimpin, dan ahli UMNO yang telah mengeluarkan kenyataan menemplak para pemimpin tertinggi UMNO sebagai budak-budak. Diharapkan mereka memeriksa tarikh lahir pada kad pengenalan para pemimpin tertinggi UMNO ini, Usia mereka adalah jelas. Serta, tidak akan dipedulikan ialah pendapat yang menyatakan bahawa negara ini ialah Republik Pisang atau pun Banana Republic.

Tataetika Pemilihan UMNO Versi 9 Mac, 2009, adalah jelas bukti bahawa para pemimpin UMNO bakal menafikan sekeras-kerasnya kenyataan dan pendapat sedemikian.

Walaupun bagaimana, amalan demokrasi tetap utuh dalam UMNO, maka sebarang rasa tidak puas hati perihal Tataetika Pemilihan UMNO Versi 9 Mac, 2009 ini, dicadangkan, bolehlah disalurkan melalui

UMNO | Online
202.56.84.170


Layanan dan respons, dijangkakan akan diberikan seperti biasa semacam waktu dahulu juga.

0 comments: