Anwar Pentingkan Diri? Saya Setuju Dengan A Mum Of Three Mohd
Rakyat Malaysia telah menyaksikan para pemimpin dan kepemimpinan di Malaysia.
Saya yang sedari muda, celek mata cari Utusan Malaysia dulu, malam Berita RTM sudah terpacak depan TV sebelum berbunyi Jeng jeng jeng jeng jeng jeng, signature tune ingat sampai sekarang, dan bila berita radio pendek, beritahu kawan-kawan, senyap sekejap boleh dak?
Namun saya tidak lagi mengikuti perkembangan politik tanahair semenjak Abdullah Ahmad Badawi mula Ku Cari Abadi nya, dan Islam Hadhari diperkenalkannya.
Hancur!
Namun, 8 Mac 2008, sekadar minat nak tahu PRU 12, saya kembali menjengok politik di Malaysia. Mula ada satu blog kemudian dua blog termasuk yang ini.
Ketika itu, pada fikiran saya, ada 2 orang sahaja di Malaysia yang mahu Abdullah Ahmad Badawi letak jawatan sekarang juga. Mahathir Mohamad, dan saya.
Kemudian barulah saya sedar - barangkali mereka yang mahukan Abdullah Ahmad Badawi terus kekal berkuasa duduk di kerusi Perdana Menteri, itulah orangnya, dan begitulah jumlahnya.
Rata-rata berpendapat Rakyat Malaysia akan maju dan Negara Malaysia akan makmor bila Abdullah Ahmad Badawi bersara serta-merta. Dia sudah tidak berguna lagi.
Pada mulanya ada terasa bahawa sesiapa sahaja Lah, asalkan bukan Pak Lah.
Namun dari 9 Mac 2008 sehingga kini, terbukti dari aspek pemimpin dan kepemimpinan, Mohd Najib Abdul Razak bukanlah orangnya paling tepat sebagai pengganti.
Jika ada sedikit poin yang bagus, Tengku Razaleigh Hamzah, dan Muhyiddin Yassin, sedikit lebih dari mereka berdua. Tetapi terlalu sedikit, sedikitnya itu.
Marilah pulak Mohd Ali Rustam, dan Muhammad Muhd Taib, maka semakin jelas bahawa UMNO sudah ketandusan pemimpin bertaraf dunia, jauh peratusannya di bawah pencapaian Mahathir Mohamad.
Setelah sedar, tidak ada lagi pemimpin sebenarnya dalam UMNO mahupun Barisan Nasional, saya mulalah terpandang Anwar Ibrahim, yang kali terakhir saya ikuti perkembangannya ialah, setelah dicekak kolar baju oleh mereka yang akuinya sebagai idola di kampus dahulu.
Sememangnya Anwar Ibrahim semakin matang setelah keluar dari sana, dan strategis menang pilihanraya yang semakin baik, dan saya saban ketika pos perihal P 44 Permatang Pauh detik demi detik.
Setelah itu menjadi kejayaan Rakyat Malaysia, nampaknya masih ada Lim Kit Siang, dulu rujukan sewaktu di kampus khususnya buku karyanya, kini nampak Lim Guan Eng, Wan Azizah Wan Ismail, Nurul Izzah Anwar, Saifuddin Nasution, Husam Musa, Khalid Samad, bersama Nik Aziz Nik Mat. Dan ramai lagi pemimpin berwibawa.
Ewah!
Ramai betul para pemimpin hebat prihatin Rakyat Malaysia dalam Pakatan Rakyat. Mereka jauh lebih baik dari aspek kepemimpinan berbanding menteri kabinet Abdullah Ahmad Badawi sekarang, senarai barisan paling teruk pernah digabungkannya.
Jadi saya bersetuju dengan A Mum Of Three Mohd...
Tanpa menjadi ahli mana-mana parti politik pun, nampak Anwar Ibrahim sememang patut sudah menjadi Perdana Menteri Malaysia, September lalu. Bila-bila tarikh terdekat pun tidak mengapa. Sebab, UMNO dan Barisan Nasional, tidak dapat diharapkan oleh Rakyat Malaysia. Biarlah mereka berusaha meraih kembali keyakinan kita 50 tahun lagi, namun menjelang PRU 13, bukanlah mereka kita pastikan untuk membentuk kerajaan pusat ataupun negeri.
InsyaAllah, bersambung...