Teka Teki Pak Lah - Esok Telah Dilengah Lusa Bakal Ditunda Jika Tulat Maka Tertonggeng
Pos # 82
Tersasarnya Mentafsir Sasaran Pak Lah Barbanding Anggapan Orang Lain
Dilulus terbit pada Tuesday, October 07 @ 15:49:59 MYT oleh TokPenghulu
Oleh zublizainordin
"Sejak 31 Oktober 2003, Abdullah Ahmad Badawi tidak pernah menyebut bahawa, dia akan letak jawatan, lepaskan jawatan, berhenti, undur, turun, bersara awal, melakukan peralihan kepemimpinan, melakukan perpindahan kuasa, atau seumpamanya, di atas ketetapan dirinya sendiri lalu mengumumkan keputusan muktamad itu secara sah, ke seluruh negara.
Jika ada semacam itu kemudiannya, yang kabur dan tidak jelas, maka itu disusuli dengan pengumumannya, hanya kerana, pertama: ada yang mendesaknya, kedua: ada asakan undi tidak konfiden akan kepemimpinannya, ketiga: suasana resah yang panas meluap lalu mahu diredakannya, dan keempat: memperlahankan kemaraan individu pemimpin yang mahu duduk di semua kerusi berkenaan yang sedang seronok didudukinya.
Teka teki, tarik tali, sorong tarik adalah permainan yang dimainkan oleh Abdullah Ahmad Badawi sejak 9 Mac 2008.
Tanpa disedari, Abdullah Ahmad Badawi, pada ketika ini masih memegang semua jawatan utama yang berkenaan, termasuklah masih sebagai Presiden UMNO, masih Pengerusi Barisan Nasional, masih Menteri Pertahanan Malaysia, dan masih Perdana Menteri Malaysia.
Permainan ini dijangkakan bakal terus bersambung lama lagi...
Jika diteliti, kemudian ditanya berapa orangkah yang benar-benar tahu dengan pasti keputusan yang bakal diumumkan oleh Abdullah Ahmad Badawi, secara sah untuk bersara awal, jawatan Presiden UMNO?
Setakat ini, tiada sesiapapun di kalangan orang lain yang tahu. Sedangkan yang kelihatan ialah Abdullah Ahmad Badawi sendiri belum terfikir untuk membuat keputusan bersara awal itu. Jika tidak tentulah pada 6hb Oktober 2008, keputusan itu telahpun diumumkan ke seluruh negara.
Apa yang telah berlangsung sejak 8 September 2008, melalui beberapa sidang media yang berkaitan, termasuklah yang istimewanya, pada 26 September 2008, tiadapun jelas walau sekalipun, bahawa Abdullah Ahmad Badawi akan bersara awal dan melepaskan jawatan Presiden UMNO kepada seorang pengganti yang sedia dimaklumi.
Pada 6hb Oktober 2008, dilaporkan oleh Zanariah Abd. Talib, di mSTAR OnLine bahawa Abdullah Ahmad Badawi akan umumkan pendiriannya sama ada mempertahankan jawatannya sebagai Presiden Umno atau sebaliknya, esok atau lusa.
Pada esok, ertinya 7hb Oktober 2008 atau lusa, 8hb Oktober 2008.
Dua kata-kunci yang molek diperhatikan dari laporan berita di atas ialah, *sama ada*, dan *esok atau lusa*.
Mari sama-sama kita kupas perihal dua kata-kunci tersebut.
Tidak ada sesiapapun yang diketahui, tahu apa keputusan yang bakal dibuat oleh Abdullah Ahmad Badawi. Tiada siapapun boleh dengan pasti dan muktamad mengatakan sah bahawa Abdullah Ahmad Badawi bersara awal, dan tidak bertanding jawatan Presiden UMNO. Yakni jawatan yang menjadi tunggak kepada lain-lain jawatan yang berkaitan, sedang disandangnya sehingga kini. Apa yang diketahui ialah *sama ada*.
Abdullah Ahmad Badawi ternyata bertempoh. Tiada tarikh tetap disebutkannya seperti contohnya, *pukul 5 petang, 8 Oktober 2008 bersamaan 8 Syawal 1429*, dan apa ertinya bila Abdullah Ahmad Badawi berkata mithalnya, *pertengahan 2010*
Itu sebenarnya cakap orang politik. Apatah lagi, Abdullah Ahmad Badawi pemimpin politik, jika dia mahu namun adakah dia mampu, maka yang kelihatan ialah seolah-olah dia mahu terus memimpin parti dan menerajui negara, sehingga pukul 5 petang, 1 Jun 2100.
Perhatikan betul-betul ya. Dalam kedudukan Abdullah Ahmad Badawi mahu bertempoh yang lebih lama lagi, bila dikatakannya *esok atau lusa*, disyorkan bahawa, lupakanlah esok atau 7hb Oktober 2008 sebagai tarikh pengumuman keputusannya yang tersebut.
Dijangkakan tidak berlaku pengumuman keputusannya itu pada 7hb Oktober 2008, maka perhatikan pula 8hb Oktober 2008.
Apa gambaran yang nampak terkini ialah begini.
Bayangkan seorang suami tidak mahu menaiki keretapi untuk bersama isterinya, pergi berhari raya di kampung, ke rumah mertuanya.
Walaupun tidak mahu sebenarnya, namun demi menjaga hati isterinya, diturutinya sampai ke stesyen keretapi itu.
Bila ditanya oleh isteri akan keputusannya sama ada dia betul-betul mahu pergi ataupun tidak, si suami itu menjawab, yang dia akan memberi keputusan pada pukul 4:50 petang, atau 4:55 petang. Sedangkan keretapi beredar 5:00 petang.
Dari gambaran itu, mari kita lihat Abdullah Ahmad Badawi pada saat dia mengumumkan keputusannya untuk bertanding jawatan Presiden UMNO, tidak sampai beberapa jam, ialah tarikh 9 Oktober 2008, permulaan serentak pencalonan 191 Bahagian UMNO.
Apakah yang sempat sebarang mesyuarat diadakan oleh pemimpin lain dari tarikh pengumuman keputusan Abdullah Ahmad Badawi itu dengan tarikh mesyuarat pencalonan 191 Bahagian UMNO..?
Dijangkakan, hanyalah reaksi dan respons sahaja dapat dirakamkan.
Barangkali anggaran maksud katanya, begini:
01. Mahathir Mohamad
Saya telah katakan, saya tidak percaya bahawa Abdullah Ahmad Badawi akan melepaskan jawatan Presiden UMNO.
02. Mohd Najib Abdul Razak
Saya berbangga bahawa Abdullah Ahmad Badawi masih lagi mahu terus berkhidmat kepada parti dan negara. Saya pun tidak merasakan perlu bersegera. Jadi, saya kekal dengan pelan peralihan, dan kini menawarkan diri untuk bertanding jawatan Timbalan Presiden UMNO.
03. Tengku Razaleigh Hamzah
Saya telah nyatakan, saya tidak kisah sesiapa yang akan bertanding, dan saya tidak kisah dengan siapa saya bertanding. Saya menawarkan diri bertanding jawatan Presiden UMNO, dan sedia menerima pencalonan yang mencukupi kuota dari 191 Bahagian UMNO.
04. Muhyiddin Yassin
Parti kita masih berada dalam keadaan tidak menentu kerana kelemahan pucuk pimpinan, dan dengan kekalnya pelan peralihan seperti asal, jika tidak kena gayanya, kita perlu khuatir untuk memenangi PRU 13 kelak. Saya menyerahkan kepada ahli dan pemimpin 191 Bahagian UMNO untuk mencalonkan saya bertanding jawatan yang mereka rasa sesuai untuk saya terus memberikan khidmat.
05. Ahmad Zahid Hamidi
Saya berterima kasih di atas sokongan akar umbi UMNO. Pendirian saya jelas. Saya hanya bertanding jawatan Timbalan Presiden UMNO jika, Mohd Najib Abdul Razak mengosongkan jawatan tersebut. Saya sedia dicalonkan untuk jawatan Naib Presiden UMNO. Saya juga merakamkan penghormatan semakin tinggi kepada Abdullah Ahmad Badawi di atas keputusannya itu.
06. Para Pemimpin Lain
Pujian, kesetiaan, dan sokongan serta respons seperti biasa.
07. Khairy Jamaluddin
(Jelas reaksinya boleh dijangkakan, sebagaimana diketahui umum)
Walaupun kata reaksi dan respons di atas adalah anggaran semata-mata, namun natijahnya jelas, sebagaimana yang telah kita ketahui dari hal yang sama terdahulu bila ianya berkaitan keputusan yang dibuat oleh Abdullah Ahmad Badawi.
Lantaran Abdullah Ahmad Badawi akan terus kekal di semua kerusi yang didudukinya.
Jika tidak, satu daripada kerusi itu mungkin dilepaskan dengan keberatan, lalu menjadi berat kepada pemikul yang mengganti duduk dikerusi tersebut, kerana Abdullah Ahmad Badawi masih pemimpin teraju negara, yang belum tentu tarikh dan masa tepat, dia bersara sepenuhnya.
Rujukan:
http://atotalblog.wordpress.com/2008/10/06/pak-lah-a-childs-guessing-game-so-get-ready-for-a-postponement-again/
http://satublogtotal.blogspot.com/2008/10/pak-lah-dijangka-umum-esok-atau-lusa.html
"
Last 10 News Submissions sent by zublizainordin:
InsyaAllah, ada lagi pos terbit di sini lagi kelak...